Tuesday, July 15, 2014

Langkawi Berdepan Risiko Hilang Status Geopark, Kena Kad Kuning

Seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider :
Pulau peranginan terkenal negara, Langkawi dalam bahaya dan berdepan risiko hilang status Geopark daripada Unesco selepas badan dunia itu memberi amaran "Kad Kuning", susulan kegagalan pihak berkuasa mematuhi amalan pemuliharaan dan mapan yang ditetapkan.
Kumpulan sivil, FLAG (Friend of Langkawi Geopark) bertindak mengambil langkah  memperbaiki keadaan tersebut sebelum Unesco melakukan pemeriksaan pertengahan tahun depan.
Sekiranya panel Unesco tidak yakin terdapat penambahbaikan yang signifikan, Langkawi akan  diberi "Kad Merah" dan bakal menyebabkan hilang status Geopark serta-merta.
Jawatankuasa FLAG Phisol Ishak berkata amat malang jika kerajaan tidak komited memenuhi syarat yang ditetapkan tahun depan.
"Jika mereka tidak komited, ia suatu yang buruk," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Ini adalah pengiktirafan pertama untuk Langkawi. Kita perlu ambil perhatian dengan serius," katanya.
Ditubuhkan awal tahun ini, FLAG menjadi nadi utama yang digerakkan penduduk dan operator pelancongan tempatan aktif mengadakan kempen kesedaran mengenai status Geopark tersebut.
Aktiviti terbaru mereka ‘Kempen Tidak Gunakan Plastik’ dijalankan sekitar bazaar Ramadan  di Pekan Kuah pada hujung minggu lalu.
Phisol berkata, antara inisiatif lain yang akan diambil ialah merancang pemulihan semula Taman CHOGM di mana pemimpin seluruh negara Komanwel menanam pokok semasa mesyuarat bersejarah Ketua Negara Komanwel pada Oktober 1989.
Katanya, keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad bersetuju menjadi peneraju FLAG untuk membantu pemulihan Geopark dianggap penting.
Langkawi menerima "Kad Kuning" semasa semakan panel pakar Unesco pada 9 Oktober, 2011.
Status Geopark tersebut pada awalnya diperoleh pada 1 Jun, 2007 dan kemudian disambung  sehingga 2015.
Difahamkan, pakar tersebut pada awalnya mahu memberikan "Kad Merah" kepada Langkawi.
Bagaimanapun, Penasihat Saintifik Malaysia bagi Langkawi Global Geopark, Prof Ibrahim Komoo membuat rayuan dan menyakinkan panel penambahbaikan boleh dilakukan dan akhirnya Unesco bertindak memberikan "Kad Kuning".
Keputusan panel tersebut dilakukan berdasarkan laporan pemeriksan dua pegawai rasmi yang melawat tapak tersebut pada Julai 2011.
Laporan tmendedahkan terdapat 27 kawasan yang tidak diselia mengikut ketetapan Unesco.
Secara umumnya, ia termasuk kegagalan untuk melaksanakan langkah pemuliharaan geologi  tempatan dan persekitaran, tidak mendidik dan menjaga penduduk tempatan dan orang asal,  serta tidak memiliki amalan pelancongan mengikut garis panduan dalam mempromosikan budaya  tempatan dan alam sekitar.
Terdapat juga kegagalan dalam pembangunan dan perancangan di mana ia tidak sepatutnya merosakkan alam sekitar dan komuniti.
Difahamkan, agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga Langkawi adalah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berada di bawah Kementerian Kewangan.
Ketika ini terdapat 100 geopark di seluruh 30 negara.
Status tersebut diberikan kepada tempat yang memiliki geologi istimewa dan ciri  persekitaran yang unik.
Setiap status geopark perlu disemak semula setiap empat tahun sekali.
Langkawi merupakan Geopark Unesco pertama di rantau Asia Tenggara.
Tidak seperti tapak Unesco lain, di mana hanya sebahagian wilayah diberi status tersebut, seluruh pulau Langkawi dan sekitarnya yang meliputi 478 km persegi diberikan status Geopark tunggal. – 15 Julai, 2014.
Tanggungjawab mengekalkan status Geopark ni bukan hanya berada di bahu satu dua pihak saja. Semua pihak kena mainkan peranan. Agensi penguatkuasa, agensi yang menyelia, agensi-agensi yang menyokong dan yang paling penting sekali penglibatan penduduk Langkawi itu sendiri. Jenuhla agensi-agensi kerajaan je yang kena buat semua kerja. Kita sebagai penduduk buat apa? Goyang kaki dan komplen saja?

Renung-renungkan.

P/s - Dapat atau tidak status tu tak menafikan tanggungjawab kita sebagai penduduk. Bertanggungjawab la sikit. Yang tahu komplen berdegar-degar di laman sosial. Jangan pentingkan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Ni dah basuh kaki ke belum?

Ping your blog, website, or RSS feed for Free
MyFreeCopyright.com Registered & Protected